Seseorang bertanya kenapakah amalan sunat yang kita tertinggal elok kita gantikan, bukankah ianya amalan sunat sahaja.
Bila sesuatu amalan itu sunat, maka menggantikannya pun memang betul, sunat. Tidak mengganti pun tidak menjadi dosa. Mengganti itu dilihat dari segi aspek hubungan kita (hamba) dengan Tuhan kita. Bukan fikh semata-mata. Kita melihat lebih jauh dari fikh semata-mata. Membaca ‘bismillah’ sebelum makan ‘hanyalah’ sunat dalam fikh. Tetapi sebagai seorang HAMBA yang faham hubungan dengan Tuhannya sanggupkah meninggalkan membaca basmallah hanya kerana ianya sunat.
Amalan sunat pun perintah Allah juga.
Dalam Riadhus Salihin ada kisah panjang tentang amalan sunat dan dialog dengan Nabi Muhammad saw dengan orang muda Abdullah b Amru bin AlAsh. Abdullah ini sangat bersemangat berbuat amalan sunat. Beliau mahu berpuasa tiap hari, khatam alquran sekerap yang boleh.Nabi asalnya mencadangkan khatam sebulan sekali, puasa 3 hari dalam sebulan. Maka berlaku tawar menawar beliau dengan Nabi. Beliau nak buat banyak, Nabi suruh buat sikit!
Hasil tawar menawar; puasa jangan lebih daripada puasa Nabi Daud, selang sehari. Khatam jangan kurang dari 7 hari.
Ketika usianya tuanya, beliau menyesal kerana tidak mahu ikut cakap Nabi dulu. Kalau ikut akal kita, apa susah, bacalah Al Quran ikut kemampuan usia tua. Tetapi bagi sahabat ini bila dia dah khatam tiap minggu, dia tak mahu kurangkan apa yang kita telah jadi amalan.
Kenapa ketika Nabi hidup aku khatam 7 hari, sekarang aku nak kurangkan amalan aku kepada Allah. Ini memalukan!. Kalau dulu kita duduk rumah banglo, bila sekarang kita duduk rumah teres kita kesal dan malu (dgn diri sendiri). Padahal ramai orang lain duduk rumah teres. Sebab ‘sepatutnya’ sekarang kita duduk dalam mahligai atau kurang-kurang kekal dalam banglo. Bukan turun. Kalau dulu kita mengirim kepada ibu kita di kampong RM500 sebulan, untuk mengurangkannya menjadi RM200 sudah tentulah mengaibkan. Bagitulah sepatutnya dalam hal pengabadian kepada Allah.
Kalau hari ini kita sudah mampu khatam Al Quran 3 bulan sekali, jangan biarkan ia jadi merosot. Pegang atau perbaiki sampai hari kita tiada daya.
Padahal semua perkara itu semuanya sunat. Sunat bukan semata-mata fikh. Ia hubungan kita dengan Rab kita. Amalan sunat tanda cinta.